Cerita tentang Adik Meen…

Adik,

Hari ini 10 Disember 2012. Tarikh yang jika diikutkan perancangan manusia, adalah tarikh ulangtahun ke 3 kelahiran adik. Tapi menurut takdir Allah, tarikh ini adalah tarikh genapnya 26 hari adik meninggalkan abah, ummi, along dan achik.

Abah memilih tarikh ini untuk meluahkan dalam bentuk tulisan apa yang abah rasa dan fikir sepanjang hampir sebulan abah kehilangan adik. Walaupun sebahagian rasanya telah tercurah di facebook, namun ada lagi yang perlu diluahkan disini. Demi Allah, bukan untuk mendapat simpati sesiapa. Ia lebih pada terapi diri abah, yang pada mata orang lain, kelihatan cukup tabah menghadapi krisis sebegini dalam hidup. Dan abah tahu, di satu ketika nanti sekiranya umur abah dipanjangkan Allah, abah akan datang semula ke sini untuk baca semula apa yang abah luahkan.

30 September 2011, di blog lama abah bercerita tentang Iqbal Fahreen, abah tulis: “Abah sangat bersyukur pada Allah kerana setakat hari ini, abah tidak diuji dengan ujian berat spt dalam cerita ini, kerana abah tahu Allah Maha Mengetahui kekuatan abah setakat mana dalam isu2 ini. Abah tak sanggup.”

Allah Maha kaya, Maha Mengetahui. 14 November 2012, Allah menguji kekuatan abah (yang pastinya Allah tahu) dengan mengambil semula adik. Adik yang menjadi puteri hati abah selama kurang lebih 3 tahun. Yang sangat abah sayang. Tidak akan boleh lupa bagaimana rentetan peristiwa bermula 12 Nov 2012, dengan adik tiba-tiba diserang ‘convulsion’, hingga ke saat mesin bantuan hayat adik dihentikan. Abah tidak akan lupa itu insyaAllah. Walaupun abah minta Allah supaya tidak kenangkan abah pada memori-memori itu, tapi abah juga minta supaya Allah tidak padamkan ia dari minda abah. Tapi tak apalah, biarlah abah simpan dalam diri abah suasana dan keadaan itu.

Yang abah nak ingat sehari-hari hanyalah kenangan bersama adik yang membahagiakan.  Abah yakin adik bahagia dengan abah, ummi dan abang-abang. Walaupun ada ketikanya adik menangis dan merajuk sebab abah marah, tapi banyak ketikanya, adik bahagia. Setiap sudut rumah yang kita diami sekarang ini ingatkan abah pada adik. Terbayang-bayang gelagat adik yang sentiasa ceria dan keletah itu. Walaupun adik terkenal sebagai ratu menumpahkan air, adik tetap juga kekal sebagai puteri kesayangan abah dan ummi.

Allah saja yang tahu hati abah tatkala bawa kereta seorang diri. Adik lah yang paling suka jadi co-driver abah. Kadang-kadang suka nak duduk atas riba abah waktu abah memandu. Adik jugalah yang selalu ambik pen dari poket baju abah, yang akhirnya abah sendiri tak tahu mana pergi pen itu.

2012-11-04 23.26.01

Adik juga yang selalu datang dengan tiba-tiba peluk dan cium pipi abah, sambil bagitau yang adik “saaaayanggg abah”. Adik yang sering minta nak pergi sekolah, walaupun belum bersekolah lagipun. Adik yang sering sambut abah tatkala abah balik dari kerja, dan balik dari surau. Adik juga yang banyak kalinya menunggu dipintu tatkala abah keluar untuk kemana-mana. Itu belum kira waktu adik menangis-nangis nak ikut abah kemana-mana. Allah…. banyaknya kerenah dan keletah adik. Subhanallah.

Mungkin adik tidak tahu yang abah selalu berangan, dan seringkali berdoa dalam berangan itu, supaya Allah jadikan adik wanita syurga. Dalam angan-angan abah itu, adik berjumpa jodoh dengan lelaki yang soleh yang mendidik adik menuju syurga. Itulah yang selalu abah angankan dan doakan. Allah sesungguhnya Maha Mengetahui adik, Dia juga Maha Pemurah. Allah makbulkan doa abah, cuma dalam bentuk yang tidak abah angan-angankan. Allah telah jadikan adik bakal penghuni syurga, sekaligus petanda Allah mendengar doa abah. Abah yakin inilah yang terbaik untuk diri adik dan abah. Tidak mengapalah jika abah terpaksa padamkan angan-angan untuk mewalikan adik, abah redha. Sebab abah yakin yang Allah Maha Mengetahui segala sesuatu yang akan berlaku di masa hadapan.

Adik,

Jika adik rasa abah tidak sedih dengan pemergian adik, abah minta maaf. Abah banyak kalinya tak mampu nak luahkan dalam nyata kesedihan abah, terutamanya di depan ummi dan abang-abang adik. Allah sajalah yang tahu betapa abah banyak kali tewas tatkala abah bersendiri. Di waktu adik di ICU, dan tiba-tiba “kod biru” diaktifkan serta ramai kakitangan wad yang berlari-lari meluru ke katil adik, di waktu itu pun abah sudah tewas adik. Walaupun di saat itu abah mohon sungguh-sungguh dengan Allah supaya sembuhkan adik, tapi air mata abah berjuraian laju juga mengalir, sebab sebahagian hati abah kata, adik akan tinggalkan abah. Itulah antara ketika yang abah sangat tidak ingin berlaku dalam hidup abah. Dan Allah dengan sifat Maha Pengasih, berikan abah melalui suasana itu, keseorangan (sebab abah tidak sampai hati nak kejutkan ummi yang menemankan abang-abang adik di wad). Allah Maha Kaya.

Sekarang bila adik telah tenang disana, alhamdulillah Allah berikan abah kekuatan. Allah tunjukkan kekuasaanNya sekali lagi pada abah, dengan berikan abah ketabahan dan kekuatan (yang abah pinta tidak henti-henti). Walaupun banyak ketikanya abah rindu pada adik, Allah tidak datangkan kerinduan itu dalam bentuk kesedihan. Sebaliknya Allah datangkan kerinduan itu dalam bentuk gambaran kenangan di waktu adik ceria dan bahagia dengan abah.

Percayalah, adik akan tetap ada dalam hati abah, insyaAllah sehingga sampai waktu abah kembali pada Allah kelak. Bukan dalam hati abah saja, tapi juga dalam hati ummi, along, achik, dan semua yang pernah menyayangi adik. Sebelum abah berhenti menulis ini, abah rasa adik perlu tahu juga bahawa sehebat mana pun abah terkesan dengan pemergian adik, Ummi lebih-lebih lagi terkesan. Ummi yang bersungguh-sungguh minta dengan Allah kehadiran adik dalam keluarga ini. Ummi jugalah yang paling bahagia tatkala adik hadir. Allah takdirkan juga adik menjadi sahabat kamceng Ummi. Abah tahu Ummi masih sangat terkesan, tapi adik janganlah bimbang. InsyaAllah ummi akan jadi lebih kuat dari abah. Abah akan sentiasa mendoakan kekuatan ummi, dan akan sentiasa berada disisi ummi insyaAllah.

InsyaAllah juga, dengan kudrat yang Allah bagi ini, abah akan cuba sedaya upaya abah untuk hidup sebahagia adanya dengan ummi dan abang-abang adik. Abah akan cuba bimbing dan didik ummi serta abang-abang adik sebaik yang boleh, supaya kita semua nanti akan bertemu semula di Jannah Allah.

Berbahagialah adik Meen di sana, dan tunggulah kedatangan abah, ummi dan abang-abang adik.

Happy birthday sayang!

– Abah yang akan sentiasa merindui…

Advertisements

22 thoughts on “Cerita tentang Adik Meen…

  1. saya pernah merasai kehilangan seperti ini..airmata mengalir membaca nukilan encik…saya faham dan anak2 kita sudah pasti syurga buat mereka…

  2. Assalamualaikum ….

    Tigo pak kali masuk blog ni. Masuk FB aBah. Masuk FB Ummie. Baco gapo hok aBah tulih.
    Supo tok cayo … Tapi tu’lah kenyataae nyor.

    Mulo mulo baca , nok tinggal komen. Nok sms aBah. Tapi raso supo tok tahu nok tulih gapo.
    Hari ni baghu sero ga’goh sikit nok tinggal komen.

    pB doakan aBah , Ummie dan anok-anok tabah hadapi takdir ini. Dugaae’ dari Alloh maghi dalae’ macae macae cha’ro dan bentuk. Hari ni hari aBah. Hari pB mungkin esok atau luso.

    Rindu itu tidak akan pernah hilang .

    Salam takziah dari pB sekeluargo.

  3. Adooooiiiiiiiii.. sekeras mana pun hati aku nih, bila baca ayat2 diatas, mngalir jgk airmata ini. Aku lemah bila melibatkan anak. Aku x dapt bayangkan kalo ianya terjadi pada aku.. Sabar bro, semoga anda sekeluarga tabah mnghadapi ujian dari Allah ini.. Blog ini aku buka dah lama, tapi tidak mempunyai kekuatan utk membacanya.. baru sekarang aku baca…

  4. saya tak sanggup baca.. blum baca saya da pun meleleh airmata! sbb saya pun kehilangan anak perempuan, walaupun dah 5 tahun kehilangannya, segala kenangan pahit & manis semua detik hitam, hati hancur berkecai.. sesalan mcm2 kejadian, masih kekal dlm ingatan sehingga hari ini tak pernah padam!! dugaan terkuat yg kita terima dlm hidup ni!!
    semoga kita tabah menghadapi nya..
    Anggap lah ini satu ujian dan hadiahnya adalah PASPORT kita ke syurga!! insyaallah.

  5. Tuan Rohaizak,

    Sayunya hati saya membaca catatan ini. Takziah dari saya. Air mata dah bertakung tunggu nak tumpah sajaa…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s