Cerita tentang 2013

Ya Allah. 
Di hari yang penuh keberkatan ini. 
Kami menadah tangan pada mu Ya Allah. 
Kau jadikan lah tahun 2013 ini sebagai tahun yang penuh keberkatan. 
Tahun penuh perubahan.

Ya Allah 
Kami kini sedang merancang matlamat 2013 supaya kami menjadi umat Mu ang lebih berjaya. Lebih berkesan. Tetapi Ya Allah kiranya ini bukan lah hak kami. Atau matlamat kami tersasar dari keredhaan Mu. 
Maka ubahlah Ya Allah. Kerana sesungguhnya Kau yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kami.

Ya Allah. 
Ada di antara umat Mu yang telah terpesong jauh. 
Maka kembalikan lah mereka ke pangkal jalan. 
Ada pula yang terfitnah dan sengsara. Maka kembalikanlah keyakinan dan kepercayaan pada diri nya dan orang lain.

Ya Allah ada di antara kami yang telah hilang semangat nya. 
Kecewa dan berputus asa. Maka dengan kekuasaan Mu. Bangkitkan lah semula kekuatan. Semangat juang mereka agar dapat menebus kembali kekalahan yang lalu.

Ya Allah yang Maha Penyayang dan Pengampun. 
Kau akhirilah sengketa sesama kami. Bersihlah hati-hati kami. Perkuatkanlah permuafakatan sesama kami. Pereratkanlah kasih sayang antara kami. 
Ya Allah kau jadikan lah tahun 2013 ini sebagai tahun yang penuh dengan keharmonian. Kemenangan dan keberkatan pada kami semua.

Ya Allah. Lindungi lah kami. 
Tunjukkan lah kami ke jalan yang benar dan kau redhai.

Amin. Amin. Ya Rabbal Alamin!

 

– kredit kepada  

Cerita tentang Adik Meen…

Adik,

Hari ini 10 Disember 2012. Tarikh yang jika diikutkan perancangan manusia, adalah tarikh ulangtahun ke 3 kelahiran adik. Tapi menurut takdir Allah, tarikh ini adalah tarikh genapnya 26 hari adik meninggalkan abah, ummi, along dan achik.

Abah memilih tarikh ini untuk meluahkan dalam bentuk tulisan apa yang abah rasa dan fikir sepanjang hampir sebulan abah kehilangan adik. Walaupun sebahagian rasanya telah tercurah di facebook, namun ada lagi yang perlu diluahkan disini. Demi Allah, bukan untuk mendapat simpati sesiapa. Ia lebih pada terapi diri abah, yang pada mata orang lain, kelihatan cukup tabah menghadapi krisis sebegini dalam hidup. Dan abah tahu, di satu ketika nanti sekiranya umur abah dipanjangkan Allah, abah akan datang semula ke sini untuk baca semula apa yang abah luahkan.

30 September 2011, di blog lama abah bercerita tentang Iqbal Fahreen, abah tulis: “Abah sangat bersyukur pada Allah kerana setakat hari ini, abah tidak diuji dengan ujian berat spt dalam cerita ini, kerana abah tahu Allah Maha Mengetahui kekuatan abah setakat mana dalam isu2 ini. Abah tak sanggup.”

Allah Maha kaya, Maha Mengetahui. 14 November 2012, Allah menguji kekuatan abah (yang pastinya Allah tahu) dengan mengambil semula adik. Adik yang menjadi puteri hati abah selama kurang lebih 3 tahun. Yang sangat abah sayang. Tidak akan boleh lupa bagaimana rentetan peristiwa bermula 12 Nov 2012, dengan adik tiba-tiba diserang ‘convulsion’, hingga ke saat mesin bantuan hayat adik dihentikan. Abah tidak akan lupa itu insyaAllah. Walaupun abah minta Allah supaya tidak kenangkan abah pada memori-memori itu, tapi abah juga minta supaya Allah tidak padamkan ia dari minda abah. Tapi tak apalah, biarlah abah simpan dalam diri abah suasana dan keadaan itu.

Yang abah nak ingat sehari-hari hanyalah kenangan bersama adik yang membahagiakan.  Abah yakin adik bahagia dengan abah, ummi dan abang-abang. Walaupun ada ketikanya adik menangis dan merajuk sebab abah marah, tapi banyak ketikanya, adik bahagia. Setiap sudut rumah yang kita diami sekarang ini ingatkan abah pada adik. Terbayang-bayang gelagat adik yang sentiasa ceria dan keletah itu. Walaupun adik terkenal sebagai ratu menumpahkan air, adik tetap juga kekal sebagai puteri kesayangan abah dan ummi.

Allah saja yang tahu hati abah tatkala bawa kereta seorang diri. Adik lah yang paling suka jadi co-driver abah. Kadang-kadang suka nak duduk atas riba abah waktu abah memandu. Adik jugalah yang selalu ambik pen dari poket baju abah, yang akhirnya abah sendiri tak tahu mana pergi pen itu.

2012-11-04 23.26.01

Adik juga yang selalu datang dengan tiba-tiba peluk dan cium pipi abah, sambil bagitau yang adik “saaaayanggg abah”. Adik yang sering minta nak pergi sekolah, walaupun belum bersekolah lagipun. Adik yang sering sambut abah tatkala abah balik dari kerja, dan balik dari surau. Adik juga yang banyak kalinya menunggu dipintu tatkala abah keluar untuk kemana-mana. Itu belum kira waktu adik menangis-nangis nak ikut abah kemana-mana. Allah…. banyaknya kerenah dan keletah adik. Subhanallah.

Mungkin adik tidak tahu yang abah selalu berangan, dan seringkali berdoa dalam berangan itu, supaya Allah jadikan adik wanita syurga. Dalam angan-angan abah itu, adik berjumpa jodoh dengan lelaki yang soleh yang mendidik adik menuju syurga. Itulah yang selalu abah angankan dan doakan. Allah sesungguhnya Maha Mengetahui adik, Dia juga Maha Pemurah. Allah makbulkan doa abah, cuma dalam bentuk yang tidak abah angan-angankan. Allah telah jadikan adik bakal penghuni syurga, sekaligus petanda Allah mendengar doa abah. Abah yakin inilah yang terbaik untuk diri adik dan abah. Tidak mengapalah jika abah terpaksa padamkan angan-angan untuk mewalikan adik, abah redha. Sebab abah yakin yang Allah Maha Mengetahui segala sesuatu yang akan berlaku di masa hadapan.

Adik,

Jika adik rasa abah tidak sedih dengan pemergian adik, abah minta maaf. Abah banyak kalinya tak mampu nak luahkan dalam nyata kesedihan abah, terutamanya di depan ummi dan abang-abang adik. Allah sajalah yang tahu betapa abah banyak kali tewas tatkala abah bersendiri. Di waktu adik di ICU, dan tiba-tiba “kod biru” diaktifkan serta ramai kakitangan wad yang berlari-lari meluru ke katil adik, di waktu itu pun abah sudah tewas adik. Walaupun di saat itu abah mohon sungguh-sungguh dengan Allah supaya sembuhkan adik, tapi air mata abah berjuraian laju juga mengalir, sebab sebahagian hati abah kata, adik akan tinggalkan abah. Itulah antara ketika yang abah sangat tidak ingin berlaku dalam hidup abah. Dan Allah dengan sifat Maha Pengasih, berikan abah melalui suasana itu, keseorangan (sebab abah tidak sampai hati nak kejutkan ummi yang menemankan abang-abang adik di wad). Allah Maha Kaya.

Sekarang bila adik telah tenang disana, alhamdulillah Allah berikan abah kekuatan. Allah tunjukkan kekuasaanNya sekali lagi pada abah, dengan berikan abah ketabahan dan kekuatan (yang abah pinta tidak henti-henti). Walaupun banyak ketikanya abah rindu pada adik, Allah tidak datangkan kerinduan itu dalam bentuk kesedihan. Sebaliknya Allah datangkan kerinduan itu dalam bentuk gambaran kenangan di waktu adik ceria dan bahagia dengan abah.

Percayalah, adik akan tetap ada dalam hati abah, insyaAllah sehingga sampai waktu abah kembali pada Allah kelak. Bukan dalam hati abah saja, tapi juga dalam hati ummi, along, achik, dan semua yang pernah menyayangi adik. Sebelum abah berhenti menulis ini, abah rasa adik perlu tahu juga bahawa sehebat mana pun abah terkesan dengan pemergian adik, Ummi lebih-lebih lagi terkesan. Ummi yang bersungguh-sungguh minta dengan Allah kehadiran adik dalam keluarga ini. Ummi jugalah yang paling bahagia tatkala adik hadir. Allah takdirkan juga adik menjadi sahabat kamceng Ummi. Abah tahu Ummi masih sangat terkesan, tapi adik janganlah bimbang. InsyaAllah ummi akan jadi lebih kuat dari abah. Abah akan sentiasa mendoakan kekuatan ummi, dan akan sentiasa berada disisi ummi insyaAllah.

InsyaAllah juga, dengan kudrat yang Allah bagi ini, abah akan cuba sedaya upaya abah untuk hidup sebahagia adanya dengan ummi dan abang-abang adik. Abah akan cuba bimbing dan didik ummi serta abang-abang adik sebaik yang boleh, supaya kita semua nanti akan bertemu semula di Jannah Allah.

Berbahagialah adik Meen di sana, dan tunggulah kedatangan abah, ummi dan abang-abang adik.

Happy birthday sayang!

– Abah yang akan sentiasa merindui…

Cerita permulaan (atau sambungan)

Setelah sekian lama berehat dari menulis(baca: mengepek), akhirnya rasa untuk menulis itu sudah sukar dikekang. Bukanlah pandai sangat pun menulis, tapi sebab teringin dan terpaksa, maka harus juga menulis.

Image

Teringin kerana dirasakan banyak perkara yang perlu dicatat (diari tak ada). Perkara tentang hidup dan apa yang berlaku sehari-hari terhadap kehidupan ini, yang difikirkan boleh dikongsi untuk makluman dan kebaikan bersama.

Terpaksa kerana bimbangkan kemahiran (yang tak seberapa) ini makin lama semakin hilang. Seperti juga kemahiran memanjat pokok, berenang dilaut, membunuh cicak (yes, I killed lizards almost every Friday when I was 9-11 years old) dan banyak kemahiran lain yang sudah makin tumpul dari diri, sangat tumpul. Terpaksa juga kerana sekarang ini sudah ada jawatan baru yang dipegang – pelajar tua.Pelajar tua yang sangat memerlukan kemahiran menulis.

Oleh kerana keinginan dan keterpaksaan itu, maka lahirlah blog ini, yang merupakan permulaan kepada keterpaksaan itu, dan sambungan kepada keinginan itu. Pada yang mengetahui, saya dulu berblog di sini. Bila sudah terlalu lama meninggalkannya, rasa untuk menyambung ditempat yang sama sudah tidak ada. Pilihan adalah untuk mencipta tempat baru. Kalau dulu di Blogspot, sekarang cuba WordPress pula.

Itu sajalah dulu untuk permulaan ditempat baru ini. Esok-esok insyaAllah akan cuba diluangkan masa untuk singgah bercerita, cerita tentang hidup sekarang, yang dirasakan begitu padat dengan memenuhi kehendak, mematuhi arahan, menjalankan tanggungjawab juga mencapai impian. Letih, memang letih. Cuma bila teringatkan pesan Ustaz Pahrol – “Dunia ini tempat berpenat, akhirat nanti tempat berehat.”, keletihan itu terpaksa kurang dipedulikan.

Esok kita sambung cerita ya.